Followers

Tuesday, 20 December 2011

Sampai bila mahu bohong?

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my




PADA Sabtu lalu, di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim bersumpah dengan menjunjung al-Quran bagi membuktikan bekas Perdana Menteri itu pernah menulis surat kepada Bank Dunia untuk meminta bantuan semasa krisis kewangan pada 1999.

Menurut negarawan itu, beliau tidak pernah berbuat demikian seperti didakwa Ketua Pembangkang itu sebaliknya menolak permintaan daripada wakil Bank Dunia yang datang untuk menawarkan bantuan.

Cabaran itu dibuat ekoran portal propembangkang, Malaysiakini melaporkan Anwar ketika berucap pada majlis makan malam membincangkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) baru-baru ini, mendakwa Dr. Mahathir telah melakukan perbuatan yang akan merugikan negara itu.

Dalam reaksinya sehari selepas itu, Anwar cuba mencari alasan untuk tidak menyahut cabaran berkenaan termasuk mendakwa apa yang dibangkitkannya melibatkan soal rasuah dan jenayah yang tidak boleh diselesaikan hanya dengan bersumpah. Sebenarnya, berbohong, memutar-belit fakta dan memperalatkan siapa juga demi kepentingan politik yang menjadi tabiat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bukanlah sesuatu yang baru.

Ini dapat dilihat pada 1998, apabila beliau mendakwa menyimpan enam kotak dokumen rahsia yang dikaitkan dengan kegiatan rasuah pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sehingga kini tidak pernah didedahkan.

Pada 1999 pula, Anwar digambarkan akan meninggal dunia dalam tempoh terdekat berikutan terdapat konspirasi terancang untuk membunuhnya menggunakan racun asernik. Isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menjadi penyampai segala dakwaan Anwar itu turut menuduh suaminya disuntik dengan virus HIV semasa dalam penjara dan akan meninggal dunia dalam tempoh singkat kerana AIDS.

Isu keracunan arsenik dan virus HIV itu dibangkitkan ketika Anwar menghadapi pertuduhan meliwat pemandu, Azizan Abu Bakar.

Pun begitu, walaupun diramal meninggal dunia dalam tempoh singkat, sehingga kini, Anwar segar bugar dan pemeriksaan yang dilakukan doktor mendapati tiada sebarang sisa arsenik dalam tubuhnya.

Biarpun berhadapan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah, kreativiti Anwar dalam menghasut dan meracuni fikiran rakyat tidak pernah luntur.

Semua ini dilakukan bagi mengalihkan perhatian masyarakat terhadap pelbagai isu moral yang dihadapinya dan untuk mencapai matlamat menjadi Perdana Menteri yang diidam-idamkannya.

Pada 2001, Anwar digambarkan berkeadaan sangat uzur hingga terpaksa berkerusi roda dan memakai pendakap leher kerana menghadapi sakit belakang yang kronik. Penipuan mengenai penyakit yang dihidapinya terbongkar apabila satu rakaman video menunjukkan Anwar dalam keadaan sihat ketika berada di hospital.

Apabila Anwar dibebaskan daripada penjara pada 2004, beliau dengan berkerusi roda dan memakai pendakap leher telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mendapat rawatan di Hospital Munich, Jerman.

Sebaik sahaja tiba di Munich, stesen televisyen CNN menyiarkan siaran langsung yang menunjukkan beliau tidak lagi memakai pendakap leher dan boleh berjalan sendiri tanpa kerusi roda walaupun belum dirawat.

Dalam pada itu, tidak semena-mena apabila bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa diliwat pada Jun 2008, Anwar berkejar ke kedutaan Turki bagi mendapat perlindungan dengan alasan menerima ugutan bunuh. Persoalannya siapa yang mahu membunuh Anwar? Pelbagai pihak selepas itu menyifatkan tuduhan beliau ‘tidak masuk akal sama sekali’, tambahan pula beliau tidak pernah membuat laporan polis berhubung ugutan itu.

Anwar juga mendakwa ulama terkenal, Prof. Dr. Yusuf Al- Qardawi turut menyokongnya apabila dituduh terlibat dalam kes meliwat Mohd. Saiful.

Akhirnya, penipuan itu terdedah apabila Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang juga bekas peguamnya mendedahkan bagaimana beliau diminta menyediakan soalan berbentuk berat sebelah bagi mendapatkan fatwa Yusuf untuk menyokong Anwar.

Pada 17 Mac 2010, sekali lagi tembelang Anwar terdedah apabila bekas sahabat baiknya yang Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memberitahu Dewan Rakyat bahawa Ketua Pembangkang itu pernah mendakwa mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi melaksanakan misi ‘rampasan kuasa 16 September’ 2008 yang tidak kesampaian.

Antara pembohongan Anwar yang didedahkan Zahrain ialah 31 ahli Parlimen BN akan melompat parti bagi menyertai pembangkang dan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sedang menunggu di Istana Negara untuk mengesahkan bilangan yang melompat parti itu.

Bagi memperbaiki imejnya yang telah tercalar ekoran pendedahan Zahrain itu, Anwar sekali lagi menunjukkan taringnya sebagai ‘raja putar alam’ apabila mencanangkan di Dewan Rakyat kononnya gagasan 1Malaysia diilhamkan oleh Apco Worldwide, syarikat perunding Amerika Syarikat yang dituduhnya di belakang kempen One Israel. Walaupun dicabar beberapa kali supaya membuktikan dakwaannya itu, Anwar gagal menyerahkan bukti terbabit kepada Parlimen walaupun diberi tempoh yang cukup. Berikutan itu, Anwar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang kemudiannya memutuskan untuk menggantungnya daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 16 Disember 2010.

Zulkifli yang merupakan bekas orang kuat Anwar ketika mengulas isu Apco itu berkata, antara sebab beliau tawar hati untuk terus bersama PKR adalah berikutan sikap Anwar yang memutarbelitkan fakta.

‘‘Kerana slogan 1Malaysia dan One Israel yang kelihatan sama, maka terus dituduh Malaysia telah diresapi dan dipengaruhi Yahudi.

‘‘Bagaimana pula dengan lambang satu mata Illuminati Yahudi dengan lambang satu mata PKR? Adakah wajar kalau orang menuduh ia dipengaruhi dan diresapi oleh unsur Yahudi? '' katanya.

Mengenai isu sakit belakang yang dialami Anwar, Zulkifli berkata, beliau sendiri tidak sedar penipuan yang dilakukan berikutan kepandaian Ketua Pembangkang itu berbohong.

‘‘Bayangkan saya yang menjadi peguamnya selama bertahun-tahun dan kerap menziarahi dia semasa dalam Penjara Sungai Buloh pun boleh kena kelentong begitu lama, ingat dia sakit belakang sampai tak boleh bangkit,’’ ujarnya.

Sementara itu, Zahrain yang mengulas isu sama berkata, rakyat harus mengingati tarikh 16 September 2008 sebagai bukti pembohongan Anwar yang begitu jelas dan nyata.

Mengenai cabaran Dr. Mahathir supaya Anwar menjunjung al-Quran berhubung isu surat kepada Bank Dunia, beliau menyifatkan, dakwaan Penasihat PKR itu hanyalah strategi mengganggu kepercayaan rakyat terhadap bekas Perdana Menteri itu dan BN.

Katanya, beliau dimaklumkan Anwar pada masa ini amat tertekan dengan kes liwatnya itu dan berikutan negara bakal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Nampaknya setelah hampir 12 tahun berlalu, rakyat Malaysia terus dibohongi Anwar. Persoalannya sampai bila beliau perlu berbohong dengan menganggap ia tidak akan disedari oleh sesiapa.

Ingatlah, bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru buat selama-lamanya. Semoga kedatangan 2012 yang dikaitkan sebagai era transformasi besar-besaran terhadap evolusi umat manusia akan membuat Anwar sedar mengenai kewajipan seseorang muslim untuk bercakap benar walaupun pahit.

TRIPLE S : BANG NON BILA NAK BERSUMPAH NI?
SUMBER : UTUSAN

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...