Followers

Wednesday 30 November 2011

Memacu inovasi daripada nanoteknologi


KUALA LUMPUR- PENUBUHAN Unit Khas Inovasi (UNIK) yang telah di umumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai tahun lepas bertujuan memperkukuhkan strategi dan polisi untuk membantu mempromosikan inovasi secara menyeluruh kepada masyarakat.
UNIK yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjadi pelengkap kepada penubuhan Pusat Inovasi Negara (MyNIC) yang ditubuhkan pada Oktober 2009.
Ia bertujuan menyerapkan inovasi sebagai satu amalan di kalangan rakyat.
Perdana Menteri juga telah menyatakan bahawa kerajaan bersetuju supaya pembangunan nanoteknologi menjadi sumber baru dalam Model Baru Ekonomi (MBE).
Nanoteknologi merupakan satu bidang yang kehadapan dalam pembangunan teknologi pada masa ini.
Justeru itu amat penting bagi Malaysia untuk tidak ketinggalan dalam bidang nanoteknologi.
Nanoteknologi juga telah mendapat perhatian dalam agenda besar negara iaitu dalam agenda inovasi negara , MBE dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Sokongan kerajaan dalam bidang nanoteknologi amatlah bermakna melalui pelancaran Inisiatif Nanoteknologi Kebangsaan(NNI) pada tahun 2006, penubuhan Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan (NND) dan penganjuran Ekspo dan Sidang Kemuncak NanoMalaysia 2011.
Nanoteknologi merupakan teknologi pada tahap atom atau pada skala perbilion meter. Konsep teknologi nano telah diperkenalkan pada tahun 1956 dan telah mula menarik perhatian secara lebih meluas pada tahun 90an.
Teknologi berkenaan telah membawa harapan baru kepada pelbagai aplikasi bertahap tinggi misalnya dalam bidang telekomunikasi, penderia berketepatan tinggi, pelbagai peranti, punca tenaga berkeupayaan tinggi dan lain-lain.
Permasalahan teknologi masa kini memerlukan penyelesaian berinovasi berdasarkan kepada ilmu pengetahuan baru.
Oleh itu, teknologi berkenaan dilihat mempunyai keupayaan dalam menangani permasalahan teknologi masa kini.

SUMBER : Utusan Malaysia


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...