Followers

Thursday 1 December 2011

Debat 211 Jam

SHAH ALAM 30 Nov. - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memuji usaha Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganjurkan Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti (Debat 211 Jam) dalam memartabatkan keunggulan sahsiah pelajar sebagai pelengkap kepada kecemerlangan bahasa Melayu di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Prof. Dr. Rujhan Mustafa berkata, pelaksanaan Debat 211 Jam itu dilihat seiring serta memenuhi matlamat KPT dalam melahirkan graduan glokal dan berdaya saing.

"Debat 211 Jam bukan sahaja mengangkat martabat bahasa Melayu tetapi menitikberatkan nilai tambah terutamanya kepada para peserta di kalangan pelajar universiti dan sekolah yang mampu meningkatkan kemahiran insaniah dan survival ke arah negara maju.


"Pelaksanaan Debat 211 Jam dilihat dapat meningkatkan integriti mahasiswa melalui penerapan nilai komunikasi, pemikiran kritis, kerja berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, etika dan moral profesional serta kemahiran kepimpinan.


"Penerapan kemahiran-kemahiran ini dalam cubaan mencipta rekod untuk Malaysia Book Of Record (MBR) oleh pelajar dapat memberi nilai tambah kepada mereka selain kurikulum yang dipelajari di universiti," katanya ketika ditemui di Dewan Anjung Sri Budiman, UiTM Shah Alam di sini, hari ini.


Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said; Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM, Prof. Madya Dr. Za'faran Hassan, Penolong Naib Canselor Jabatan Komunikasi Korporat, Prof. Dr. Ahmad Redzuan Abdul. Rahman.


Program debat ala perbahasan Parlimen itu melibatkan penyertaan kira-kira 1,600 pendebat yang terdiri daripada pelajar-pelajar UiTM, institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), maktab perguruan, kolej komuniti, politeknik, alumni pertubuhan belia dan sekolah menengah.


Sebanyak 211 usul bertemakan Transformasi dan Perpaduan Bangsa dibentangkan pada debat selama sembilan hari yang bermula hari ini hingga 2 Disember depan dalam usaha untuk mencipta rekod baharu MBR.

Program debat ini merupakan anjuran Impak, Bahagian HEP dan Fakulti Pendidikan UiTM dengan kerjasama Utusan Melayu (Malaysia) Bhd.
Rujhan berkata, Debat 211 Jam juga menjadi aset penting bagi melahirkan graduan yang mampu bersaing, berkeyakinan, mampu berkomunikasi dengan baik serta boleh menyumbang kepada pembangunan negara.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...